Thursday 13 September 2012

TRANSFORMASI PENDIDIKAN

Sistem pendidikan negara bersifat dinamik dan sering berubah mengikut peredaran masa.  Perubahan ini adalah untuk memantapkan lagi sistem yang sedia ada agar ia dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan kualiti modal insan.  Justeru, kita yang bakal bertindak sebagai badan pelaksana pelan transformasi kerajaan ini perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran agar ianya berjaya dilaksanakan.



TRANSFORMASI PENDIDIKAN-PM

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my

Tarikh:  13 September 2012
KUALA LUMPUR 12 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, transformasi sistem pendidikan yang sedang diusahakan Kementerian Pelajaran menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 perlu terus maju seiring dengan dasar transformasi negara.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan kerajaan kini mengatur langkah membangunkan negara di bawah Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

"Dalam usaha untuk memenuhi aspirasi kita yang tinggi dalam persekitaran global yang semakin kompetitif, kita tidak boleh hanya berdiam diri. Negara memerlukan transformasi dalam keseluruhan sistem pendidikan dan perlu meningkatkan pencapaian semua pelajar.
"Perubahan yang dimaksudkan bukan hanya sekadar menambah bilangan kakitangan serta kemudahan, tetapi sekarang kita perlu memahami dan meningkatkan dinamik proses pengajaran dan pembelajaran," katanya menerusi blognya, http://1malaysia.com.my hari ini.

Semalam, beliau melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025 yang antara lain bertujuan menghasilkan satu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.
Mengulas lanjut Najib berkata, pendidikan bukan hanya satu elemen yang sangat penting dalam pembangunan peribadi seseorang insan, malah ia merupakan penyumbang utama kepada pembangunan modal sosial dan ekonomi sesebuah negara.  Ia jelasnya, menggalakkan kreativiti dan memupuk inovasi, menyediakan para belia dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran dan merupakan pemacu utama Pertumbuhan ekonomi.  Beliau berkata, sasaran yang ditetapkan adalah tinggi namun ia boleh dicapai termasuk meningkatkan standard negara daripada tergolong dalam kumpulan terbawah kepada paling atas bagi penilaian antarabangsa seperti Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) dalam tempoh 15 tahun.  Sasaran lain, katanya, membina satu sistem pendidikan yang mendidik anak bangsa menghargai identiti unik negara sebagai rakyat Malaysia.

"Transformasi sistem pendidikan bukan satu usaha yang mudah dan kemungkinan besar kita akan menghadapi beberapa cabaran. Namun, yakinlah bahawa bukan sahaja kerajaan dan Kementerian Pelajaran yang komited untuk mencapai matlamat ini, malah saya juga secara peribadi memegang teguh komitmen ini. 

"Daripada ibu bapa kepada masyarakat tempatan dan sektor swasta, kita semua mempunyai peranan dan kepentingan peribadi dalam memastikan sistem pendidikan kita diperbaiki," tegasnya.

Wednesday 12 September 2012

RASIONAL PELAKSANAAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dikatakan dapat meringankan beban tugas guru serta menjadikan sistem pendidikan kita tidak lagi berorientasikan peperiksaan semata-mata.  Jika sebelum ini pelajar kurang melibatkan diri dalam bidang kokurikulum kerana lebih menumpukan kepada pencapaian akademik, sekarang senarionya berubah sama sekali.  Guru-guru pula tidak lagi berasa tertekan untuk menghabiskan sukatan pelajaran kerana mengejar peperiksaan.  Namun, kedengaran juga rungutan daripada guru-guru bahawa PBS ini menyebabkan beban kerja guru bertambah.  Guru terpaksa mengambil masa memasukkan markah murid secara online, mengendalikan kerja kursus pelajar dan sebagainya.   Untuk lebih memahami rasional pelaksanaan PBS, sila baca artikel di bawah ini.  Apa pandangan anda mengenai pelaksanaan PBS ini?


RASIONAL PELAKSANAAN PBS

Oleh AZMY MOHAMED
pendidikan@utusan.com.my


This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
PELAKSANAAN Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) mulai murid tahun satu 2011 diyakini dapat melahirkan modal insan yang holistik serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang diaspirasikan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  Ketika ini, sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan dan terlalu mengiktiraf pencapaian akademik menyebabkan penglibatan pelajar kurang dalam kokurikulum serta memberi tekanan kepada guru, ibu bapa dan pelajar berkenaan.  Tekanan ke atas guru-guru untuk menghabiskan sukatan pelajaran menyebabkan fokus kepada produk akhir dan bukannya proses pembelajaran.  Tambahan pula, di sesetengah negara maju, sistem pentaksirannya telah banyak berubah dan ada yang langsung tidak mempunyai peperiksaan awam sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.

Justeru mulai 2016, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dibuat berdasarkan nisbah 60:40 iaitu 60 peratus Pentaksiran Berasaskan Pusat (PBP) dan 40 peratus PBS. Manakala peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula bermula pada 2014.
PBP di peringkat UPSR sama seperti yang diamalkan sekarang akan dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) yang melibatkan mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Dalam PBS pula terdapat empat komponen iaitu Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Psikometrik dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).  Pentaksiran Pusat dan Pentaksiran Sekolah bersifat akademik manakala Pentaksiran Psikometrik dan PASJK pula bersifat bukan akademik.  Bagi Pentaksiran Pusat, ia dilaksanakan oleh sekolah menggunakan instrumen dan garis panduan yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan. Pentaksiran ini melibatkan kerja khusus dan projek lisan.
Pentaksiran Sekolah pula melibatkan mata pelajaran teras dan elektif. Ia dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak sekolah.

Manakala Pentaksiran Psikometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah dan/atau pusat untuk mengukur kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid.  PAJSK adalah pentaksiran yang dijalankan untuk mendapatkan maklumat tentang kapasiti dan potensi jasmani, sukan dan kokurikulum yang dikawal secara harmoni oleh kapasiti dan proses mental seseorang individu murid supaya pertumbuhannya dapat dipantau dan diperbaiki

KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR)

 
LATAR BELAKANG

Transformasi Kurikulum Kebangsaan bertitik tolak daripada keputusan Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri Bil.6/2008 yang dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Pelajaran pada 23 Mei 2008. Satu usaha penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara terutamanya di peringkat sekolah rendah perlu dilaksanakan supaya kurikulum persekolahan memenuhi keperluan dan cabaran semasa serta akan datang. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melaksanakan satu kajian dan mendapati wujudnya keperluan untuk melakukan transformasi kurikulum sekolah rendah.

Transformasi kurikulum sekolah rendah merupakan penyusunan semula dan penambahbaikan kurikulum persekolahan rendah sedia ada. Tujuan transformasi adalah untuk memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Fokus transformasi kurikulum persekolahan rendah adalah kepada kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), sebaliknya mengambil kira kemahiran penaakulan, kreativiti dan inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) serta elemen keusahawanan.

Dalam proses transformasi kurikulum persekolahan rendah, KPM telah melakukan penandaarasan dengan kurikulum persekolahan negara maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan yang dibangunkan setanding dengan pendidikan global. Di samping itu, KPM turut mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti Pertubuhan Bukan Kerajaan, industri, akademik dan ibu bapa. Berdasarkan kepada input-input tersebut maka konsep kurikulum persekolahan rendah berasaskan standard dibangunkan.


Lanjutan daripada itu, konsep kurikulum persekolahan rendah mendapat kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat Bil.3/2009 pada 2 Oktober 2009. KPM membangunkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) berasaskan prinsip-prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kurikulum yang dibangunkan turut melibatkan kurikulum Pendidikan Khas. Bagi memastikan kurikulum tersebut mantap, pelaksanaan rintis telah dilakukan di sekolah rendah terpilih di seluruh negara.



HASRAT KSSR

Kurikulum Standard Sekolah Rendah berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif melalui tunjang-tunjang komunikasi, sains dan teknologi, perkembangan fizikal dan estetika, keterampilan diri, kemanusiaan dan kerohanian, sikap dan nilai

Kurikulum Standard Sekolah Rendah berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. KSSR mengambil kira cabaran abad ke-21, Model Baru Ekonomi (MBE) dan teori pembelajaran terkini. KSSR juga mengguna pakai empat tonggak pendidikan UNESCO, iaitu belajar untuk mengetahui (learning to know), belajar untuk bertindak (learning to do), belajar untuk hidup bersama (learning to live together) dan belajar untuk membentuk peribadi (learning to be).

Murid yang mengikuti KSSR akan mempunyai asas-asas berikut:
- Insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial
- Warganegara yang bertanggungjawab
- Warganegara yang boleh berperanan di arena global (Global Player)
- Pekerja berilmu


Rajah Hasrat KSSR


PRINSIP KSSR
 
Kurikulum Standard Sekolah Rendah mengekalkan kesemua prinsip KBSR. Prinsip ini dikekalkan kerana masih sesuai dan relevan untuk melahirkan insan yang seimbang dan holistik. Prinsip-prinsip tersebut adalah seperti berikut:



Pendekatan Bersepadu

Tumpuan utama diberikan kepada pendekatan bersepadu. Unsur-unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai digabungkan supaya wujud kesepaduan dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial.

Perkembangan Individu Secara Menyeluruh

KSSR digubal untuk memastikan semua mata pelajaran berperanan untuk memenuhi keperluan intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial. Setiap potensi murid dikembangkan secara bersepadu.

Pendidikan Saksama Untuk Semua Murid

KSSR memberi peluang yang luas dan saksama kepada semua murid untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang menyeluruh dan seimbang.

Pendidikan Seumur Hidup

KSSR menyediakan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh semua murid sebagai asas untuk menghadapi cabaran kehidupan seharian dan pendidikan sepanjang hayat.



BENTUK KURIKULUM

Konsep tunjang yang diperkenalkan dalam KSSR, merupakan satu bentuk pengklasifikasian bidang ilmu, kemahiran dan nilai. Konsep ini berfokus kepada pembentukan modal insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Enam tunjang dikenal pasti mewakili bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang menjadi asas kepada pembangunan insan yang berfikiran kreatif, kritis dan inovatif. Tunjang-tunjang tersebut menggambarkan penstrukturan secara eksplisit bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang perlu dikuasai murid. Setiap tunjang saling berhubung kait dan bersepadu.
 
6 Tunjang KSSR

Tunjang Komunikasi

Tunjang Komunikasi memberi penekanan kepada proses menggabung jalin kemahiran berbahasa dalam bentuk lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi. Tunjang ini memberi fokus kepada kemahiran bahasa seperti mendengar dan bertutur, membaca dan menulis, serta nilai tambah menaakul.

Murid perlu menguasai kemahiran ini bagi membantu mereka dalam proses pemerolehan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam tunjang-tunjang yang lain. Penguasaan kemahiran berbahasa menyediakan murid untuk membuat pemilihan bahasa yang bertepatan dan sistematik dalam interaksi sosial.
Disiplin ilmu dalam Tunjang Komunikasi ialah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan, Bahasa Tamil Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Semai.


Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika

Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika memberi penekanan kepada perkembangan jasmani dan kesihatan untuk kesejahteraan diri dan pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat dan apresiasi. Disiplin ilmu yang membangunkan aspek fizikal ialah Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Kreativiti, bakat dan apresiasi dipupuk melalui Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik.


Tunjang Kemanusiaan

Tunjang Kemanusiaan memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dan amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar setempat, negara dan global, serta penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan. Disiplin ilmu yang terdapat dalam Tunjang Kemanusiaan ialah Sejarah yang diperkenalkan mulai Tahap II persekolahan.


Tunjang Keterampilan Diri

Tunjang Keterampilan diri memberi penekanan kepada pemupukan kepimpinan dan sahsiah diri melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Murid diberi peluang menyepadukan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik darjah dan mengamalkannya dalam kegiatan kokurikulum. Penglibatan dalam kegiatan kokurikulum seperti persatuan, badan beruniform dan sukan memberi peluang kepada murid meningkatkan potensi diri sebagai pemimpin kepada diri, rakan sebaya, keluarga dan masyarakat.


Tunjang Sains dan Teknologi

Tunjang Sains dan Teknologi memberi penekanan kepada penguasaan:
• pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik
• pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam matematik
• pengetahuan dan kemahiran berasaskan teknologi

Disiplin ilmu yang terdapat dalam Tunjang Literasi Sains dan Teknologi ialah Sains, Matematik, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).


Tunjang Kerohanian, Sikap Dan Nilai

Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai memberi penekanan kepada bidang pembelajaran yang berfokus kepada penghayatan amalan agama, kepercayaan, sikap dan nilai. Disiplin ilmu dalam tunjang ini merangkumi Pendidikan Islam bagi murid Islam dan Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam.

DIDIK HIBUR

oleh: Dr . Zailah Zainudin, IPG Kampus Raja Melewar

Pengenalan
 
Didik hibur adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan murid-murid. Walaupun murid seronok tetapi objektif pengajaran dan pembelajaran masih dapat dicapai seperti yang ditetapkan. Oleh itu, guru perlu merancang pengajaran dan pembelajaran agar isi kandungan mata pelajaran dapat disampaikan dengan berkesan.

 

Latar Belakang Didik Hibur
 
Cadangan pelaksanaan penyerapan pendekatan didik hibur dalam pengajaran bermula apabila keputusan kabinet pada 8 Julai 2009 yang memutuskan bahawa PPSMI dimansuhkan dengan mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menjelang tahun 2012.

Kerajaan berhasrat memperkenalkan pendekatan didik hibur di sekolah rendah untuk merealisasikan hasrat transformasi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Adalah diharapkan pendekatan didik hibur dalam bilik darjah akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif serta berpusatkan murid. Justeru pengajaran guru akan lebih mudah dihayati dan difahami oleh murid.

Definisi
 
Didik Hibur bemaksud mendidik sambil menghibur. Kamus Dewan (2000) mentakrifkan didik sebagai pelihara, jaga dengan hati-hati dan ajar, manakala hibur bermaksud menyenangkan atau menggirangkan hati

Rumusannya didik hibur merupakan satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur seperti permainan, nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi secara sistematik dan terancang.

Ciri-Ciri Didik Hibur

Antara ciri-ciri didik hibur dalam pengajaran adalah seperti berikut:
(i) Sesi pembelajaran yang menyeronokkan kerana terkandung unsur kelakar, kecindan, ada unsur estetik, permainan muzik, lakonan dan sebagainya.
(ii) Mengurangkan tahap kebimbangan dan ketakutan murid kepada guru. Seperti yang dijelaskan sebelum ini didik hibur berkonsepkan santai dan berhibur.
(iii) Murid-murid sentiasa berada dalam keadaan pembelajaran yang positif, gembira dan tertunggu-tunggu untuk melalui sesi pembelajaran pada hari berikutnya.
(iv) Sesi pembelajaran yang penuh dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan pelbagai. Menerusi aktiviti nyanyian dan lakonan umpamanya, murid-murid boleh main peranan dengan menyertai aktiviti tersebut sambil berhibur. Yang penting, arahan guru perlu jelas dan ringkas di samping penggunaan ICT dan BBM untuk menarik penglibatan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran.
(v) Objektif aktiviti cenderung kepada pelbagai cara penyelesaian masalah dan kepelbagaian cara persembahan yang tiada unsur kalah atau menang, tiada ganjaran atau dendaan serta latihan dan penggunaannya menjurus kepada aktiviti p&p.
(vi) Salah atau tidak bukan matlamat aktiviti didik hibur, tetapi yang penting berjaya melibatkan seramai mungkin murid dan aktivitinya bersahaja dan santai.
(vii) Aktiviti yang dipilih lebih menjurus kepada aktiviti berkumpulan atau berpasangan supaya wujud semangat kerja berpasukan, kerjasama dan toleransi.
(viii) Murid bebas bersuara, mengeluarkan pendapat dan idea secara logik dalam keadaan terkawal untuk memberikan satu persembahan yang menarik.
(ix) Murid bebas untuk bergerak, berlakon, menyanyi dan sebagainya dalam keadaan terkawal.
(x) Aktiviti didik hibur banyak menggunakan komunikasi melalui bahasa tubuh.

Faktor Yang Mempengaruhi Pelaksanaan Didik Hibur.

Guru:
 
Kejayaan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran itu adalah terletak kepada kebijaksanaan guru sebagai pengurus dan perancang pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Sebagai guru, beberapa perkara berikut perlu dipatuhi, iaitu:
( i ) Perwatakan guru yang menarik, kecindan, tidak menakut atau menggerunkan murid
( ii ) Bahasa yang digunakan sesuai dengan tahap murid.
(iii) Guru tidak menjatuhkan air muka atau memalukan murid di khalayak.
(iv) Guru seorang pengurus atau penganjur aktiviti yang baik.
(v) Sepatutnya guru boleh melakonkan pelbagai watak dalam pelbagai aktiviti.
(vi) Guru boleh membuat pelbagai suara.
(vii) Boleh memberi arahan dengan tepat dan menarik.
(viii) Seorang yang prihatin dan peka serta tajam daya pemerhatian.
(ix) Guru berkebolehan menukar atau melakukan penyesuaian mendadak
(x) Guru atau fasilitator seorang yang fleksibel


Aktiviti

Kejayaan didik hibur secara kerkesan bergantung kepada aktiviti yang dirancang. Walau bagaimanapun terdapat beberapa ciri yang perlu diambil kira oleh guru semasa merancang aktiviti didik hibur dalam bilik darjah, iaitu:
( i ) Aktiviti perlu disesuaikan dengan tahap murid yang hendak diajar.
( ii ) Jalankan aktiviti yang murid-murid sedia ketahui berdasarkan silang budaya yang sama.
( iii ) Penyerapan didik hibur memerlukan tempoh pelaksanaan dan peruntukan masa pembelajaran yang sesuai atau waktu yang fleksibel.
( iv ) Aktiviti didik hibur boleh dilaksana, dijalan dan diselesaikan bersama murid-murid tanpa ada banyak masalah atau halangan.
( v ) Aktiviti yang dipilih tidak menjurus ke arah permusuhan atau konflik antara murid.
( vi ) Sediakan peraturan yang jelas, senang, mudah difahami atau diikuti oleh murid.
( vii ) Aktiviti didik hibur yang dirancang juga perlu memberikan kepuasan kepada mereka yang menyertainya, serta boleh disertai seramai mungkin murid.
 

Penutup

 
Pada dasarnya amalan penyerapan didik hibur bukanlah perkara yang baru dalam siri pendidikan negara. Untuk tujuan penegasan istilah didik hibur digunakan secara jelas sebagai komitmen yang bersungguh-sungguh kerajaan untuk mengaplikasikan pendekatan ini yang diadaptasikan menerusi pendekatan ‘Fun Learning’ yang digunakan secara meluas dalam pengajaran dan pembelajaran

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN (PPP) 2013-2025

Sumber: Utusan Online
Tarikh:  10 September 2012

 



KUALA LUMPUR 11 Sept. - Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membentangkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 hari ini menyenaraikan inisiatif-inisiatif penting yang akan dilaksanakan, melakar pelan tindakan yang jelas dan menetapkan jangkamasa tertentu untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, antara perkara yang boleh dijangka dalam Gelombang Pertama pelaksanaan pelan tersebut mulai 2013 hingga 2015 adalah peningkatan dalam kemahiran guru, kualiti pengajaran, keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah serta mutu kepimpinan sekolah.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, Gelombang Kedua mulai tahun 2016 hingga 2020 akan menyaksikan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej kerjaya baru.

Dalam gelombang sama, tambah Muhyiddin, bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran distruktur semula dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula agar sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia.

"Dalam Gelombang Ketiga mulai 2021 hingga 2025, semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, Kementerian Pelajaran akan mengorak langkah dalam menghasilkan satu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Kata beliau, pelan itu juga menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam ciri aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

"Dalam merangka pelan ini, sebanyak sembilan bidang keutamaan yang dikenal pasti hasil daripada Laporan Penilaian Pendidikan Negara telah diperhalusi," katanya.

Sembilan bidang keutamaan tersebut adalah: 1. Memartabatkan profesion perguruan; 2. Meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah; 3. Meningkatkan kualiti sekolah; 4. Memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran; 5. Meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa; 6. Mengukuhkan penglibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan; 7. Meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja; 8. Memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber dan 9. Membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan.

Jelas Muhyiddin, berdasarkan sembilan bidang keutamaan tersebut, kementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang diingini oleh rakyat.  Sebelas anjakan tersebut adalah: 1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa; 2. Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris; 3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai; 4. Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan; 5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah; 6. Mengupaya jabatan pelajaran negeri (JPN), pejabat pelajaran daerah (PPD) dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan; 7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia; 8. Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan; 9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas; 10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit dan 11. Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam.

Dalam pembentangannya, Muhyiddin berkata, pelan itu dihasilkan menerusi kajian semula secara menyeluruh yang dimulakan Kementerian Pelajaran pada Oktober 2011.  "Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara telah dibentuk untuk mengumpul pandangan masyarakat umum mengenai langkah-langkah yang perlu diambil kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan.

"Menerusi siri jelajah dialog pendidikan di seluruh negara, sebanyak 7,039 syor diterima daripada hampir 12,000 peserta yang mengambil bahagian selain 156 memorandum daripada pelbagai pertubuhan dan individu," jelasnya.   Kata beliau, pandangan panel penilai bebas tempatan dan antarabangsa diperolehi dalam penyediaan laporan awal pelan tersebut.  Katanya, kementerian juga turut mendapatkan input daripada kajian-kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan.

Thursday 23 August 2012

KERAJAAN DIMINTA JADIKAN SASTERA MELAYU SEBAGAI SUBJEK TERAS

Apa pandangan kawan-kawan apabila membaca berita di bawah ini?  Tentunya kita yang sedang berkecimpung dalam bidang pendidikan ini secara tidak langsung turut terpanggil untuk mengeluarkan pendapat peribadi berkenaan isu ini.  Komentar anda tentang isu ini amat dialu-alukan menerusi blog kami ini.


Sumber:  Akhbar Sinar Harian
Tarikh: 22 Ogos 2012

KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta menjadikan sastera Melayu sebagai subjek teras di peringkat menengah dalam usaha menangkis tanggapan bahawa mata pelajaran itu tidak penting.

Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Madya Dr Abdul Halim Ali berkata mata pelajaran sastera Melayu yang kini kurang mendapat sambutan di kalangan pelajar, perlu diberi perhatian serius dalam memastikan ia tidak dianggap sebagai mata pelajaran kelas kedua.

"Semasa saya lakukan penilaian di beberapa sekolah, jumlah pelajar yang mengambil subjek sastera tidak mencapai separuh dan ini satu perkembangan yang amat tidak baik untuk sistem pendidikan negara.

"Lebih menyedihkan apabila sastera juga tidak diberi tempat khas untuk dipelajari sedangkan ia melambangkan peradaban bangsa Melayu dan tanah air kita," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Mengenai sikap pelajar kini yang dilihat tidak menunjukkan minat mempelajari mata pelajaran itu, beliau berkata ia ekoran tanggapan tiada nilai ekonomi dalam sastera.

"Sastera disifatkan mata pelajaran hanya untuk pelajar yang lemah selain mereka (pelajar) beranggapan tiada nilai ekonomi dan kerjaya dalam subjek itu," katanya.

Beliau berkata sebanyak 59 sekolah berasrama penuh di seluruh negara tidak mempromosikan sastera kepada pelajarnya, sebaliknya terlalu memfokuskan kepada penguasaan sains dan teknologi semata-mata.

"Memang sains dan teknologi itu penting tetapi penguasaan itu tidak lengkap jika konteks peradaban ditinggalkan dengan entiti pelajar itu kosong dan tiada nilai dalam usaha memartabatkan peradaban negara," katanya.

Beliau berkata hanya sekolah integrasi dilihat cuba mengimbangkan peradaban dan sains kemanusian yang sepatutnya dicontohi dan menjadi pelan tetap untuk Dialog Nasional Pendidikan Negara.- Bernama